30 April 2007

PANTUN

Peritnya rasa tergigit lidah
Lidah tergigit makan rambutan
Hidup ini bukannya mudah
Umpama belayar ditengah lautan

Pisang masak dibuat pengat
Mari dimakan bersama ketupat
Puas sudah memerah keringat
Orang lain juga mendapat tempat

Berjalan-jalan terpijak duri
Duri terpijak ditengah bendang
Apalah malang nasibnya diri
Keringat dicurah tidak dipandang

Duduk ditangga meraut lidi
Sambil meraut tangan menari
Puas sudah menanam budi
Orang lain juga yang dicari

Mari bertandang kerumah Pak Hassan
Datang dengan menaiki perahu
Malang sungguh nasib kau insan
Keringat dicurah tak siapa yang tahu

Burung tempua membuat sarang
Sarangnya rendah dipohon cempedak
Jangan peduli katanya orang
Entahkan betul entahkan tidak

Hendak kelaut mencari kerang
Senjata diguna sianak panah
Malangnya nasib di negeri orang
Saban hari dilanda fitnah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan